Monday, June 1, 2009

Coretan Pengalamanku i

Assalamualaikum wbt...
Allhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah.Selawat dan salam kepada Nabi Muhamad saw dan kaum keluarga Baginda.

Sudah lama jari ini tidak menaip..Tapi pada waktu petang yang jarang sekali sesepi ini.Terlintas untuk aku membuat sedikit coretan pengalaman dan kenangan bersama2 sahabat2ku..Saat dan ketika ini sebenarnya aku amat rindui kalian yang melalui detik2 kenangan beberapa hari di negara orang..

Alhamdulillah..aku selamat tiba di tanah air setelah hampir seminggu berada di Jogjakarta..Tanggal 25 Mei akan terus menjadi tarikh keramat dalam hidupkku kerana tarikh itulah ulang tahun kelahiranku dan pada tarikh itulah aku berangkat ke sana.Segala-galanya berlaku diluar dugaan.Disebabkan 25 Mei itulah aku menerima kejutan dari sahabat2ku..Sesungguhnya aku amat gembira sepanjang pengembaraan,hajatku untuk membawa adikku tersayang bersama akhirnya tercapai juga..Rombongan kami yang seramai asalnya 28 orang akhirnya tinggal 18 orang sahaja akibat kekuatiran sahabat2 yang lain terhadap virus H1N1 yang melanda dunia..Sebenarnya,tiada apa pun untuk dibimbangkan, segala-galanya selamat.Namun pada mulanya terlintas juga hasratku untuk menarik diri,tapi apapun Allah telah mengaturkan segala-galanya.Terbang jua aku bersama sahabat2 yang lain.

Sepanjang aku disana, banyak pengalaman yang hebat yang tidak pernah aku alami selama ini aku miliki disana. Walupun Indonesia negara yang mundur tapi dari segi "pengisian" dan orangnya amat hebat sekali.Pengalaman setiba di pesantren moden darussalam ataupun amat terkenal sebagai GONTOR, amat tidak boleh dilupakan.Walaupun perjalanan ke pesantren itu mengambil masa selama 5 jam dari Jawa Tengah ke Jawa Timur, akn tetapi keletihan itu tidak sia-sia. Sesampainya aku ke sana, aku tergamam, terkesima, terpesona dan tiada ungkapan yang dapat untuk aku jelaskan perasaanku ini. Disamping bangunan2 yang gah berdiri.Hampir setiap inci,ruang,masa,saat..seluruh kawasan pesantern akan dipenuhi dengan aktivitinya.Bersukan,berkawat,latihan itu ini,didenda ( cuci tandas,berdiri di khalayak ramai ), lori2 yang lalu lalang dan sebagainya. Yang menarik tentang GONTOR ini ialah segala pengurusan dan tenaga pengajar adalah dari pelajarnya sendiri termasuk yang memandu lori itu tadi.Daripada pengajar, membawa lori, membaiki kerosakan atau dari sebesar-besar kerja sampai sekecil-kecil kerja semuanya adalah diuruskan oleh pelajarnya sendiri.Pada malamnya pula, setiap inci ruang dipenuhi oleh muridnya, walupun dalam keadaan gelap kekurangan cahaya, mereka tetap tekun belajar.Sehinggakan ada sahaja yang mambaca sambil berjalan kesana kemari. Amat hebat kehidupan mereka disini.

Pada waktu subuh, aku bergegas bersama adikku berkejar-kejaran ke masjid kerana kami terlewat sedikit bangun dari tidur. Nasib baik terdengar azan suboh kalau tidak melepaslah kami untuk melihat kehidupan pelajar seawal pagi disana.Ternyata, masjid dipenuhi pelajarnya..Setelah habis solat masing-masing membaca al-quran dan ada juga yang membaca al-quran diatas tangga hampir tersengguk-sengguk. Kami bejalan-jalan sekitar asrama. Subhanallah, pelajar-pelajar tahap rendah pula masing-masing berkumpul di setiap pintu bilik untuk diajar kosa kata yang baru samaada dalam Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris..Amat kagum aku, tiada istilah rehat dalam diri mereka melainkan waktu tidur iaitu pukul 10 malam hingga 4.30pagi..Waktu selain itu penuh dengan aktivitinya termasuk menjaga kedai buku,kilang percetakkan,dan sebagainya..Kami pun mengambil peluang untuk melawat ke seluruh sekitar pondok, rupa-rupanya pesantren ini mempunyai stesen radio dan TV nya sendiri..Amat hebat sekali.Dilengkapi dengan makmal komputer,gelangggang sukan,dan sebaginya.Kesemua ini hasil daripada aktiviti ekonomi meraka sendiri tanpa bergantung harap kepada kerajaan seperti mengusahajan ladang sapi,ladang ayam,kedai percetakakkan,kedai buku dan sebagainya..

Bersambung untuk pengalaman hebat seterusnya ...

Wednesday, April 15, 2009

BUDAK KECIL YANG TAKUTKAN NERAKA ALLAH


Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis. Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalm api neraka." Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"

Sunday, April 5, 2009

Masuklah Ke Dalam Islam Itu Seluruhnya


Firman Allah SWT dalam ayat 208 surah al-Baqarah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata."

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengarahkan umat Islam agar masuk yang bererti menerima Islam secara keseluruhannya tanpa berbelah bagi, ia juga adalah jelmaan daripada doa iftitah yang dibaca dalam setiap solat, 'sesungguhnya solatku, segala ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekelian alam ini'.

Begitulah juga dengan doa yang dibaca melalui surah al-Fatihah, 17 kali sehari semalam, iaitu tunjuklah kami jalan yang lurus.

Masuk atau menerima Islam secara keseluruhannya seperti dalam ayat di atas, boleh disimpulkan seperti di bawah ini :

1- Menerima Islam sebagai cara hidup.

2- Menerima Islam sebagai penyelesai kepada semua masalah.

3- Menyedari bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah.

4- Menyedari bahawa apabila tidak beramal dengan Islam secara serius, akan ditimpakan musibah oleh Allah SWT.

5- Memahami dengan sebaik-baiknya, bahawa apabila tidak beramal dengan Islam, bererti tidak percaya kepada kemuliaan Allah selaku Pencipta, apabila tidak percaya kepada Allah, bermakna menempah tempat dalam neraka.

6- Bersedia untuk menjadikan Islam sebagai pegangan dari sudut pakaian, cara berfikir, pergaulan, usaha harian, kerjaya dengan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai Muslim/Muslimah sejati di sisi Allah.

7- Memperuntukkan masa untuk belajar Islam serta berkorban segala keringat, masa, tenaga, pemikiran dan kesanggupan.

8- Berjanji kepada Allah untuk memelihara agama-Nya.

9- Berjanji untuk memelihara jiwa daripada sebarang naluri dan kecenderungan yang menyalahi syariat.

10- Berjanji untuk memelihara harta daripada terjebak menyokong musuh-musuh Allah yang akhirnya membunuh saudara-saudara seagama seperti membeli rokok keluaran syarikat orang-orang Yahudi.

11- Berjanji memelihara keturunan serta kehormatan sebagai orang Islam dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan imej serta peribadi sebagai seorang Muslim yang sungguh-sungguh untuk mendaulatkan Islam.

12- Berjanji untuk memelihara memelihara akal daripada berfikir yang boleh merosakkan kesucian agama Islam dan berfikir cara bagaimana boleh memajukannya.

13- Menterjemahkan lima slogan yang pernah difahami oleh generasi ulama awalan sebagai cara hidup sempurna, iaitu Allah matlamat kita, Rasul itu pemimpin dan contoh teladan kita, al-Quran itu perlembagaan kita, jihad itu adalah cara hidup kita dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita kita yang tinggi lagi murni di sisi Allah.

PETIKAN : Ustaz Zainudin Hashim

Friday, April 3, 2009

Hakikat Penyakit Riak

Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6 yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak."

Pengertian riak


Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.

Perkara yang diriakkan oleh manusia;

1. Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

2. Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.

3. Riak dengan perkataan

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

4. Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.

5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.

Peringkat Riak

1. Riak Akbar

Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2. Riak Asghar


Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

3. Riak Jali (yang terang)

Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4. Riak Khafi (yang tersembunyi)

Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Punca Riak

Sebab-sebab yang boleh membawa kepada penyakit riak ini antaranya ialah;

1. Sifat suka dipuji oleh orang lain.


Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.

2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain.

Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.

3. Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian.

Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.

Bagaimana mengelakkan sifat riak?

Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit.

Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.

2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.

4. Menanamkan di dalam diri bahawa melakukan sesuatu perkara kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu patut dijauhkan.

5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.

6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.

Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnyaperasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.

Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi, jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.

Thursday, April 2, 2009

As Syahiid Sheikh Ahmad Yassin Kekal di Memori



Sheikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampung bernama Al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Beliau telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin,beliau dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, dimana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke penghujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama Mujamma al-Islam.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai "Al-Mujahidun Al-Filastiniyyun" pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan "Kataib Syuyukh" yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memiliki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO (Palestine Liberation Organization) dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS (Harakah Al Muqawamah Al Islamiyyah ) pada tahun 1987.



HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama "Atfal Hijarah"(Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai "Intifadah". Kesan dari "Intifadah" ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16/10/ 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Sheikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga hilang penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Sheikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh beserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Sheikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya Sheikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.

Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi. Sheikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6 / 9 / 2003 bilamana sebuah helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Sheikh Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22 / 3 / 2004, mereka sekali lagi menyerang Sheikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Sheikh yang lumpuh itu telah mengorbankan Sheikh Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.
Walaupun Sheikh Ahmad Yassin telah tiada untuk membangkitkan semangat jihad, namun beliau telah meninggal roh jihadnya buat para pejuang yang cintakan Islam dan mahukan bumi Palestin dibebaskan.

Sumber : http://haluanpalestin.haluan.org.my/

Friday, March 20, 2009

Itulah IR Nizar


Apabila seseorang yang dihormati kerana kebaikannya, maka orang itu akan terus diingati. Inilah yang berlaku di Kelantan Darul Naim. Kebaikan yang dimiliki oleh sosok kecil Tok Guru, menundukkan ramai orang. Mereka hormat kerana sayang bukannya takut. Tok Guru tidak pernah menjatuhkan aib sesiapa. Maka, itulah sedikit bayangannya muncul di Perak, lewat perlantikan tanpa duga Ir Nizar sebagai Menteri Besar.


Lama dahulu…jangan kata orang Kelantan, kami di Perak pun tidak mengenali sangat sosok tinggi gagah Ir Nizar. Bahkan, mungkin jika terlanggar bahu di pasar, kami mengingatkan dia seorang cina. Matanya yang sepet dan iras wajahnya memang seorang cina, kerana ibunya memang seorang cina. Rupa-rupanya, Allah SWT menyimpan Ir Nizar untuk menjadi MB kami. Sungguh tak disangka.


Apabila Ir Nizar menjadi MB, baharulah rakyat sedar siapa beliau. Bukan sekadar jaminan kelayakan akademik yang begitu tinggi…tetapi juga pakej lain yang ada pada diri Ir Nizar. Saya sendiri tidak menyangka, dengan imej seorang aktivis PAS berjanggut sejemput itu, dia rupa-rupanya adalah manusia yang hebat seakan bayang Tuan Guru yang muncul di Perak.


Barulah kami tahu, Ir Nizar bukan sekadar seorang jurutera lulusan luar negara; tapi juga seorang ‘ustaz’ yang sering mengajar di masjid dan surau. Nizar juga bukan sekadar petah berpidato di pentas politik, malah petah bicaranya di mimbar masjid. Nizar yang ada bukan sekadar fasih berbahasa Melayu; tetapi juga Inggeris, Cina, Tamil dan Arab!Apabila Ir Nizar memberikan ucapan sulungnya di hadapan ribuan rakyat Perak berketurunan cina, ramai yang terkedu apabila beliau berkomunikasi dengan lidah cina. Bukan satu dialek, tetapi tiga. Jarang orang Melayu-Islam-PAS yang mampu bertutur dalam dialek Kantonis, Hokkien dan Mandarin. Tapi Ir Nizar boleh!


Apabila Nizar bertamukan orang India, maka lancar sahaja lidahnya berbahasa tamil. Sekali lagi kami terkedu. Apakah Ir Nizar ini anak ‘buluh betung’ yang mampu berbicara dengan sesiapa sahaja?


Apabila menceritakan komunikasinya dengan Pak Arab dari Timur Tengah, Ir Nizar menceritakan bahawa dia berbicara dengan bahasa yang sama dengan mereka. Lalu ia memudahkan ‘cerita’ dan Pak Arab setuju datang melabur ke Perak. La…rupa-rupanya Ir Nizar kami fasih juga berbahasa Arab!


Bahasa Inggeris…Bahasa Melayu…jangan cakaplah. Jika sudah bertahun di luar negara mengaji ilmu kejuruteraan, takkan tak reti bahasa Inggeris. Jika sudah keturunan Melayu, takkan jelek berbahasa Melayu!


Kemudian, kami di Perak tambah teruja apabila MB kami ini rupanya sangat sayangkan Bahasa Melayu.. Siapa pun tidak menyangka, rupa-rupanya dek kerana sayangkan bahasa ibundanya sendiri, maka Ir Nizar lama sebelum menjawat jawatan MB telah membawa anaknya menyaman Kerajaan Malaysia. Samannya berasas, kerana Kerajaan Malaysia telah melanggar hak Bahasa Melayu seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan Perkara 152. Sungguh bangga kami mempunyai MB seperti Ir Nizar…sayangnya bukan setakat di mulut tapi di kota apa yang dikata.


Apabila bergelar MB pun, Ir Nizar tetap mengekalkan watak seorang lelaki biasa. Tidak pula kelihatan dia memasang ‘body guard’ keliling pinggang. Bahkan, apabila Nizar menjadi MB lah, maka kediaman Menteri Besar di Ipoh makin terbuka untuk rakyat. Merasalah kami memijak aspal dan rumput di dalam kawasan kediaman MB. Jadilah…


Ir Nizar tidak malu pun untuk menikmati nasi bungkus di pejabatnya. Samalah dengan Tuan Guru mentornya di Kelantan. Nasi bungkus sudah jadi santapan biasa. Bukan haram pun…bahkan itulah yang rakyat suka.


Apabila diteropong kepada isterinya pula, lega hati…tak adalah pula Datin Seri Fatimah sudah naik ‘tocang’ dengan ternobatnya suami menjadi MB.. Masih lagi bertudung litup, masih sopan berkerudung dan berkurung. Masih sopan melayan tetamu dan pengunjung. Tidaklah berubah menjadi ‘kaduk naik junjung.’Anak-anak Ir Nizar lagilah…sungguh kami tak sangka, MB kami ini berwawasan akhirat melampaui dunia yang singkat.


Anak-anaknya dihantar ke Timur Tengah, belajar syariah dan menjadi hafiz Quran. Samalah juga seperti Tuan Guru Nik Aziz, anak-anaknya alim dan warak…samalah seperti ayahandanya.


Itulah…sejuk hati kami rakyat Perak ber-MB-kan Ir Nizar. Tapi…selalunya orang yang baik memang ada yang berdengki. Maka, dilemparkanlah fitnah dan tohmah. Disebarkanlah berita palsu dan dakyah.


Semuanya agar imej MB Ir Nizar yang baik bertukar comot dan kelam.Semuanya ditangani dengan baik oleh Ir Nizar. Namun, kami rakyat Perak sedar…tidaklah semuanya sempurna 100 peratus. Adalah sedikit-sedikit kesalahan yang beliau terbuat atau terlepas pandang. Namun, semuanya masih boleh dimaafkan. Bukanlah besar sangat pun.


Malangnya, kesalahan kecil itulah diperbesarkan. Isu pemberian tanah kepada orang cina menjadi bahan utama. Kasihan MB Nizar. Takkanlah memberi tanah kepada rakyat Perak itu salah. Lainlah memberikan tanah kepada orang Singapura…macam terlepasnya Pulau Batu Puteh…tapi, penjelasan dan penafiannya tidak didengari. Mereka asyik mengecam dan mencaci. Kasihan MB kami.


Kini, puaslah agaknya hati para pendengki itu. Mereka sudah berjaya menafikan hak MB kami. Ir Nizar dipaksa turun dari jawatannya. Mereka peralatkan sultan. Mereka peralatkan media. Mereka jaja nama tuanku. Kononnya Ir Nizar sudah derhaka. Lalu, mereka angkat sumpah menjadi MB baru…walaupun MB Nizar masih MB yang sah.


Inilah cerita MB kami, Datuk Seri Hj Ir Muhammad Nizar Jamaludin. Anak Kampar Perak yang membesar di sekolah cina, belajar hingga ke England dan akhirnya mampu berkhutbah di mimbar masjid dan berceramah agama di mana-mana. Sayang…seorang teknorat agama seperti ini difitnah oleh orang seagama, yang kemaruk kuasa.


Tapi kami yakin…tak lama lagi, beliau akan jadi MB semula. Kami yakin…kami percaya, kerana kami pegang janji Allah…siapa yang tolong Allah maka Allah akan menolong mereka dan meneguhkan tapak kaki mereka. Amin…